Thank You!!!

Thursday, October 28, 2010

ceritera duka dan lara


29 OKTOBER 2010, 1.16 pagi.............

Hujan turun dengan lebatnya. Kilat sabung-menyabung. Guruh sesekali mengejutkan diri dari khayalan. Entah mengapa, hati tergerak untuk mengarang sebuah kisah yang duka lagi lara. Kisah yang telah membuatkan diri begitu tidak keruan laksana tiupan bayu yang tidak menentu. Ada ketikanya aku akan termenung berjam-jam lamanya. Ada kalanya aku seperti insan yang telah kehilangan jasadnya. Ya. Aku pernah seperti insan kurang siuman tika aku sedar aku dilahirkan bukan untuknya dan dia dilahirkan bukan untuk ku. Kami akan berpisah di persimpangan jalan dan dikala itu masing-masing akan membawa haluan masing-masing. Aku hanya berdaya memandang pada langkahan kakinya dan mendengar pada derap langkah kakinya.


Perasaan ini datang dalam diam. Tidak aku sedari sejak bila. Ternyata dia telah berjaya mengetuk pintu hati ini yang sekian lama dikunci kerana khuatir dilukai lagi. Aku yang selama ini tidak lagi percaya pada cinta telah jatuh cinta. Berkali-kali aku cuba membuatkan diri lupa akan dirinya. Berkali-kali aku cuba mengingatkan diri bahawa perasaan sedang bermain dengan hati. Namun, aku gagal dalam segala usaha itu. Aku sememangnya telah jatuh cinta padanya. Hati aku berkata bahawa aku harus khabarkan rasa yang bersarang dalam hati kepadanya. Dengan segala kekuatan yang ada, aku telah berjaya meluahkan segala rasa yang dipendam hati untuk sekian lamanya. Tetapi aku hampa. Bukan bahagia yang datang pada diri tetapi hanya duka yang singgah di hati.

Panjang cerita kisah ini jika mahu dikisahkan satu persatu kronologinya. Adalah baik sekiranya kisah duka ini dipendekkan sahaja. Aku dan dia kini diikat dengan ikatan persahabatan. Aku yakin aku bahagia tetapi hanya hati yang mampu membaca isi hati. Malam ini aku dikhabarkan bahawa dia masih lagi mencintai insan yang berjaya memikat hatinya. Hatinya masih pada insan bertuah itu. Betapa luluhnya hati ini tatkala menerima perkhabarab sebegitu rupa. Air mata mengalir deras membasahi pipi. Hati hancur berkecai. Diri ini ternyata mempunyai banyak kekurangan untuk mendapat tempat di hatinya. Aku termangu sebentar. Aku terpaku seketika. Apakah harus aku melepaskan dirinya untuk sekian kalinya? Berdayakah aku? Berkali-kali mulut bermadah mahu melepaskan dirinya tetapi madah hati berbicara untuk tidak sesekali melepaskannya. Kata hati aku, aku amat mencintainya. Dia mungkin beranggapan bahawa aku telah membuat penilaian yang salah. Tidak, aku tidak salah menilai dirinya. Aku sememangnya mencintai dirinya. Di dunia dan di akhirat. Berpisahlah kita di persimpangan ini. Biarlah kaki yang melangkah membawa diri. Biarlah burung yang terbang bebas di angkasa yang membawa segala kedukaan. Biarlah hanya aku yang menunggumu seandainya masih ada cinta.

aku punya kamu (biar jika hanya dalam mimpi, akan aku bahagia)
dia yang kamu cintai mendapat tempat teratas dalam hati kamu...
tetapi kamu mendapat tempat teratas dalam hati ku.........
aku?
dimanakah aku dalam hatimu?

G.S.W..........

No comments:

Post a Comment