Thank You!!!

Sunday, October 27, 2013

Sepetang Bersama: Nasi Lemak Ikan Pekasam...







Tajuk Buku: Nasi Lemak Ikan Pekasam
Penulis Buku: Ahmad Safarman bin Dollah

Sinopsis:
Cikgu Ezudin seorang guru dari Kuala Lumpur telah ditugaskan mengajar di pedalaman Hulu Perak. Dia terpaksa menerima situasi bergaul dengan murid-murid kawasan jin bertandang yang terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk Orang Asli, Cina, India, dan Siam. Baginya semua budak kampung jauh terpinggir dan ketinggalan dari arus pemodenan. Namun kerana tugas yang telah diamanahkan dia terpaksa mengharungi juga. Kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah yang serba daif itu membuatkan dia terpaksa menerima hakikat yang terpaksa menjadi ‘orang kampung’. Meninggalkan banglo mewah di tengah bandaraya Kuala Lumpur dan menjadi penguni rumah sewa usang di kelilingi hutan rimba dan orang kampung betul-betul mencabar kesabaran diri. Tidur siangnya terganggu dek bunyai ayam berkokok, kicauan murai dan apa saja haiwan. Setiap kali malam menjelma telah menjadi rutin kehidupan berperang dengan pepijat dan nyamuk Bukan mudah sebagai guru bandar untuk diterima oleh masyarakat kampung. Dan Cikgu Ezudin sendiri pun terpaksa berlakon untuk memenangi hati orang kampung yang semuanya mencari rezeki dengan menoreh getah, menangkap ikan, berkebun sayur dan melaku apa sahaja aktiviti kampung. Rata-rata menjadikan ikan pekasam sebagai menu wajib dalam hidangan. Bagi Cikgu Ezudin pula, ikan pekasam hanya dinikmati oleh orang-orang kampung sahaja. Tidak mungkin selaku anak bandaraya Kuala Lumpur menikmati makanan tradisi kampung itu. Tekaknya loya untuk menerima makanan itu. Perasaannya sekali lagi diuji apabila mengenali muridnya Aiman Safuan yang seringkali menimbulkan masalah. Ditambah lagi kehidupan anak kampung itu sering menjadikan burung, katak, ikan, beruk dan segala macam hidupan hutan sebagai ‘kawan’. Namun begitu, setiap kali dia mendenda atau memarahi, anak muridnya itu tidak sedikitpun melawan. Seolah redha akan apa sahaja hukuman yang dikenakan. Itulah ‘keunikan’ yang ada pada anak muridnya sehingga dia berusaha untuk mencari jawapannya. Perkenalan dengan Ustazah Humaira, membuatkan Cikgu Ezudin sedikit sebanyak cuba mengenali kehidupan peribadi Aiman Safuan. Ustazah Humaira mahu Cikgu Ezudin merubah kehidupan anak muridnya yang sering bermasalah sejak kematian kedua ibu bapa akibat kemalangan jalan raya. Apatah lagi anak muridnya itu bakal berhadapan dengan peperiksaan UPSR. Permintaan itu amat berat bagi Cikgu Ezudin yang seringkali Aiman Safuan tetap tidak kena pada pandangan matanya. Semakin dia cuba rapat dengan Aiman Safuan, seakan banyak masalah yang timbul. Bahkan dia masih teringat-ingat hari pertama masuk ke kelas tersebut. Aiman Safuan datang ke kelas dalam keadaan yang comot, busuk dan tidak melambangkan seorang murid sekolah. Lebih membuatkan dia terkejut kerana muridnya itu membawa beberapa ekor katak. Sesuatu yang tidak masuk akal. Hari pertama lagi Cikgu Ezudin hampir termuntah dan pengsan gara-gara katak yang dibawa terlepas melompat-lompat jijik di dalam kelas. Itu adalah ‘hadiah’ hari pertama yang memalukan. Untuk hidup dan bergaul dengan jiran tetangga juga amat merimaskan. Sumpah dia tidak dapat menerima kehidupan kampung yang sering kali bersikap menjaga tepi kain orang. Ada saja yang menyakitkan hatinya. Kelakuannya seolah ada CCTV yang memerhati. Namun, dia harus tabah dan menganggap itu adalah asam garam untuk menjadi anak rantau. Untuk memenangi hati semua orang tidak dalam masa yang singkat. Hanya Roha Janda seorang penjual ikan pekasam sahaja yang cuba rapat dengan dirinya. Roha Janda sering menghantar makanan kepadanya termasuklah menu nasi lemak ikan pekasam. Demi mengambil hati Roha Janda dia terpaksa mencuba juga menu itu. Sekali mencuba, barulah dia tahu bahawa ikan pekasam adalah satu makanan yang unik, sedap dan menyelerakan. Ikan pekasam yang masih panas, diperah dengan asam limau betul-betul membangkitkan selera. Patutlah ikan pekasam amat terkenal di daerah hulu itu. Sikap baik Roha Janda menimbulkan rasa tidak senang kepada Gayah Gelang musuh azalinya itu. Apatah lagi setiap hari Roha Janda rapat dengan Cikgu Ezudin. Gayah Gelang seorang yang penduduk kampung yang sangat kaya itu telah membuat pelbagai fitnah untuk mengusir Cikgu Ezudin dari kampung. Antaranya dengan mengatakan Cikgu Ezudin ada hubungan sulit dengan Roha Janda. Dia sentiasa mengadu dekat ketua kampung akan perangai Cikgu Ezudin dan Roha Janda. Cikgu Ezudin tabah menghadapi cabaran. Walaupun pernah difitnah dan motornya dipancit tetapi dia tetap bersabar. Sehinggalah satu peristiwa yang betul-betul mematahkan semangatnya untuk terus berbakti di pedalaman itu. Ketika kejadian elektrik terputus dan hujan lebat, dua orang lelaki yang tidak dikenali menceroboh rumahnya. Lelaki itu terus memukul Cikgu Ezudin hingga lembik dan memberi amaran keras kepadanya. Mulut Cikgu Ezudin disumbat-sumbat dengan kertas peperiksaan. Pergaduhan itu membuatkan Cikgu Ezudin terlantar di hospital untuk beberapa hari. Ustazah Humaira dan Roha Janda tetap memujuk hati. Kesalnya Roha Janda atas apa yang berlaku. Kenapa masih ada manusia tidak berhati perut kepada seorang guru yang berbakti kepada anak bangsa. Pak Dollah juga cuba mencari dalang di sebalik masalah yang menimpa Cikgu Ezudin. Namun, Cikgu Ezudin tidak mengambil kisah akan apa yang berlaku ke atasnya. Apatah lagi setiap kali memandang wajah lembut Ustazah Humaira memberi kata-kata semangat kepadanya hatinya cair. Tekadnya hanya satu iaitu untuk mengembalikan seri di wajah Aiman Safuan. Anak muridnya itu adalah segala-galanya kini. Ujian demi ujian berlaku ke atas Cikgu Ezudin. Tunangnya Fatin, datang menuntut agar perkahwinan diteruskan secepat mungkin dan mengajak Cikgu Ezudin kembali semula ke Kuala Lumpur. Namun Cikgu Ezudin tidak berganjak dan merasakan semakin selesa dengan kehidupan di kampung itu. Apatah lagi sejak mengenali Ustazah Humaira yang keperibadiannya jauh lebih baik daripada Fatin. Mengenangkan Aiman Safuan semakin jinak dan berubah untuk terus mendekatinya. Amanah sekolah untuk Cikgu Ezudin dekati hati Aiman Safuan sudah semakin hampir. Suatu hari, pertunangan Cikgu Ezudin dan Fatin terputus di pertengahan jalan. Fatin datang ke sekolah dan mengetahui bahawa Cikgu Ezudin telah rapat dengan Ustazah Humaira. Fatin telah menuduh Ustazah Humaira merampas tunangnya. Cikgu Ezudin redha dengan permintaan itu. Ini membuatkan Cikgu Ezudin tekad untuk terus menghambakan diri kepada anak murid sepenuhnya. Fokusnya mesti tercapai. Aiman Safuan dan muridnya yang lain mesti mengambil peperiksaan UPSR hingga berjaya. Gayah Gelang tetap tidak berputus asa. Dia terus menyerang keperibadian Cikgu Ezudin. Dia tidak mahu Cikgu Ezudin menghabiskan masa kepada Aiman Safuan anak yatim yang serba tidak kena pada pandangan matanya. Gayah Gelang terus mencari jalan agar Aiman Safuan yang pernah mencuri di kebun miliknya diajar dan dihalang dari berjumpa dengan Cikgu Ezudin. Bencinya pada Aiman Safuan tidak pernah padam kerana arwah Pak Nik Din iaitu ayah Aiman Safuan pernah berhutang dan menolak cintanya. Cikgu Ezudin cuba menjadi guru yang setenang keperibadian yang Ustazah Humaira tonjolkan. Baginya sejak pertama kali melihat Ustazah Humaira hatinya sentiasa rasa tenang. Apatah lagi layanan Ustazah Humaira sangat baik. Semua masalah yang berlaku diadukan kepada Ustazah Humaira walaupun ada guru-guru lain sedang menaburkan fitnah. Cikgu Ezudin menganggap itu adalah asam garam dunia perguruan. Memikirkan masalah murid-murid adalah pegangan seorang guru. Setiap masalah cuba ditepis terutama sekali masalah Aiman Safuan. Walau pun Cikgu Ezudin mula perasan Aiman Safuan mula menjauhkan diri darinya. Dia cuba menduga kolam hati anak muridnya sedalam-dalamnya. Sehinggalah satu hati berlaku kehilangan beg duit di sekolah. Semua murid menuduh Aiman Safuan yang mencuri. Ahmad Firdaus dan Vinesh selaku musuh dari tahun satu lagi menuduh itu semua kerja Aiman Safuan kerana dia sangat-sangat membenci rakan sekelasnya itu. Sedikit sebanyak kepercayaannya Cikgu Ezudin kepada Aiman Safuan tergugat. Hakikatnya mengikut kata teman rapat Aiman Safuan iaitu Apit dan Loo Kar Fong, tidak mungkin kawan baiknya mencuri. Biar miskin tapi untuk mencuri tidak sesekali. Miss Marsha memberi tekanan yang hebat kepada Cikgu Ezudin dengan menuduh guru muda itu tidak pandai menjaga kelas dan hanya pandai bercinta dengan Ustazah Humaira. Lebih Cikgu Ezudin rasa tertekan Aiman Safuan terlibat dalam pergaduhan bersama anak Gayah Gelang. Gayah Gelang datang mengamuk kat sekolah. Cikgu Ezudin rasa sangat tertekan lalu melepaskan semua kemarahan itu kepada Aiman Safuan. Dia secara tidak sengaja telah menampar anak muridnya membuatkan Aiman Safuan tidak hadir ke sekolah beberapa hari. Ustazah Humaira menjumpai semula dompet yang hilang. Atas nasihat Ustazah Humaira, Cikgu Ezudin terpaksa memujuk Aiman Safuan untuk datang ke sekolah. Dia mencari Aiman Safuan di rumah dan ketika inilah baru dia sedar bahawa kehidupan Aiman Safuan di rumah tidak sebagai mana yang dibayangkan. Kehidupan miskin dan kampung bertemankan nenek yang rabun dia menumpang kasih dan sayang. Menjadikan sarang tempua, ikan haruan, dan apa sahaja yang boleh dibuat duit. Patutlah Aiman Safuan sering ponteng sekolah kerana setiap hari dia keluar bersama beruk untuk memanjat kelapa dan mencari hasil hutan. Cikgu Ezudin kecewa kerana Aiman Safuan tekad mahu berhenti sekolah. Di sekolah, kehilangan Aiman Safuan menimbulkan perasaan baru kepada Cikgu Ezudin. Hatinya terusik apabila melihat kerusi Aiman Safuan seringkali kosong. Setiap kali memandang kerusi itu kenangan mendenda satu persatu masuk dalam kotak fikirannya. Rasa bersalah itu muncul dengan tiba-tiba. Sekali lagi dia tekad untuk memujuk anak muridnya itu datang ke sekolah. Dia ingin memberi kejutan dengan menghadiahkan seekor beruk sebagai ganti. Dia harus meminta maaf atas apa yang terjadi. Sekali lagi dia mengharungi denai dan belukar untuk sampai ke rumah anak muridnya. Namun, jantungnya seakan gugur dari tangkai hati apabila kedatangannya dikejutkan dengan berita Aiman Safuan hilang di dalam lombong ketika mencari ikan haruan. Cikgu Ezudin terus terjun ke dalam lombong untuk menyelamatkan anak muridnya. Dia berjaya mencapai dan terus memapah anak muridnya naik ke tebing. Saat itu tidak sanggup dia melihat Aiman Safuan yang sudah nyawa-nyawa ikan. Air mata Cikgu Ezudin gugur satu persatu. Tak sanggup dia melihat muka anak muridnya ditutupi selut. Hanya dicam tahi lalat di pipi saja. Nasi lemak ikan pekasam juga keluar dari mulut Aiman Safuan. Tangan Aiman Safuan bergerak-gerak sambil menunjukkan ke arah seekor ikan haruan yang berada di dalam plastik. Cikgu Ezudin memandang ikan haruan dan selipar jepun hijau milik anak muridnya. Dipandangnya ke arah seekor beruk yang akan dihadiahkan kepada anak muridnya. Dalam tangisan itu Cikgu Ezudin terus memujuk anak muridnya agar bertahan. Dia meminta maaf berulang kali. Menyesali atas apa yang terjadi. Anak muridnya hanya sempat berkata bahawa dia sangat sayangkan Cikgu Ezudin saat pertama kali melihat wajah Cikgu Ezudin. Cikgu Ezudin tak ubah seperti arwah ayah. Aiman Safuan sangat sayangkan Cikgu Ezudin sebagaimana dia menyayangi arwah ayahnya. Sebab itulah setiap kali Cikgu Ezudin memarahinya dia merasa satu keseronokan yang sukar untuk dimengertikan. Kini Aiman Safuan mahu cepat-cepat pergi menemui arwah ayahnya. Cikgu Ezudin mengerti kini. Ingatan dia kembali masuk ke sekolah. Patutlah setiap kali dia mendenda anak muridnya itu tidak pernah sekali menitiskan air mata tidak sebagai mana murid lain. Rupa-rupanya dalam hati Aiman Safuan telah ada perasaan kasih dan sayang yang tidak terhingga terhadap gurunya. Sampai satu ketika barulah dia mengerti kenapa Aiman Safuan melakukan semua itu. Rupa-rupanya dia sedang mengumpul kasih sayang yang telah pergi. Cikgu Ezudin menjadi galang ganti menumpang kasih dalam diam. Itulah satu-satu cara Aiman Safuan memujuk hati yang terluka atas sebuah kematian. Di saat usia muda dia telah kehilangan kasih sayang dari orang tersayang. Di kubur, Cikgu Ezudin mula menginsafi diri. Dia mengerti kini, bahawa seseorang cikgu tidak harus ada perasaan ego dan meninggi diri terhadap anak murid walaupun jauh di pedalaman sekali pun. Kerana hati dan perasaan seseorang tidak harus diukur kepada di mana seseorang itu berada. Di bandar dan di kampung sekali pun guru dan murid ibarat isi dengan kuku. Arwah Aiman Safuan satu-satunya murid yang mengubah roda kehidupannya. Dia menyesali kerana tidak dapat mengesan lebih awal rahsia itu. Andai dia tahu muridnya itu sedang menumpang kasih sayang dalam diam, dia akan menjaga anak muridnya bagai dia menjaga nyawa sendiri. Menatang bagai minyak yang penuh. Sayang sekali muridnya telah pergi terlebih dahulu buat selama-lamanya. Kedatangan Nenek Rohani memberikan seekor tekukur kepada Cikgu Ezudin menambah lagi perasaan sedih. Mengertilah dia bahawa satu ketika dulu Aiman Safuan pernah berjanji untuk menangkap seekor tekukur untuk dihadiahkan kepadanya. Saat itu Cikgu Ezudin menolak dan memperlekehkan anak muridnya yang bermasalah itu. Hakikatnya dia mengerti, Aiman Safuan anak muridnya sedang menguji perasaan dan kesabaran dirinya sebagai seorang guru. Dengan Aiman Safuan, Cikgu Ezudin belajar semuanya. Teringat juga kata-kata arwah bahawa nasi lemak ikan pekasam sangat sedap. Rugi andai Cikgu Ezudin tidak merasainya. Cikgu Ezudin mengangguk-angguk. Mengertilah ia, kata-kata yang keluar dari anak muridnya yang dalam diam menganggap dirinya sebagai ayah itu semua berilmu. Seterusnya mengajar diri Cikgu Ezudin menjadi guru yang paling tabah mengharungi hidup. Saat air mata Cikgu Ezudin mengalir, kenangan bersama arwah Aiman Safuan diingati. Kisah katak, belalang, haruan, ikan pekasam, beruk, tekukur semua diingati. Dia mengerti, itulah kehidupan pedalaman yang sangat-sangat serasi dengan seorang kanak-kanak yang sedang membesar. Uniknya yang tidak dinikmati oleh murid-murid di bandar. Sedarilah Cikgu Ezudin kehidupan di pedalaman tetap mempunyai sejarah tersendiri. Perlahan-lahan Cikgu Ezudin melepaskan tekukur di tangan terbang tinggi di awan. Terbang dan tak akan kembali lagi sebagaimana anak muridnya yang telah pergi buat selama-lamanya.

Saturday, October 5, 2013

Ku Tebarkan Cinta Di Hati...


 
 
Ku tebarkan cinta di hati,
Sepertinya sang pelangi di senja hari,
Tika sang pelukis menguratkan warna-warna,
Si rama-rama menebarkan sayapnya,
Si mawar menebarkan kelopaknya,
Mengisyaratkan aku ke denai cinta.

Ku tebarkan cinta di hati,
Jemari menari gemalai memetik papan piano,
Setiap dentingan walau tidak bernada,
Namun alunannya tetap indah,
Kerana setiap melodi ku cairkan,
Agar sepi tidak menjadi realiti.

Ku tebarkan cinta di hati,
Ternyata hadir gundah dalam hati,
Kerana cinta bukan perkataan yang dirantai indah,
Tetapi perasaan yang disulam bibit-bibit rindu.

#Buat dia yang mengerti :)